1.0 PENGENALAN
KEBUDAYAAN DAN KESUSASTERAAN MELAYU
Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada
pelbagai kaum dan agama. Tiga kaum yang terbesar di Malaysia ialah Melayu, Cina
dan India. Selain itu, Malaysia juga didiami oleh kaum minoriti seperti orang
Asli, Iban, Bidayuh, Melanau dan lain-lain. Walau bagaimanapun, Malaysia tetap
dapat hidup dengan aman dan damai dengan adanya perlembagaan negara setelah
penubuhan Malaysia pada 16 september 1963. Dengan adanya pelbagai etnik ini,
maka wujudlah pelbagai budaya sesuatu masyarakat yang diwarisi secara
turun-temurun. Keadaan ini wujud kerana setiap etnik mempunyai kebudayaan dan
keunikannya yang tersendiri. Namun, Melayu merupakan kaum yang terbesar di
Malaysia. Oleh itu, terdapat banyak karya kesusasteraan Melayu yang dihasilkan
oleh tokoh-tokoh negara sebagai bukti bahawa bangsa Melayu merupakan masyarakat
yang agung suatu ketika dahulu. Kesusasteraan Melayu terbahagi kepada dua
jenis, iaitu kesusasteraan Melayu Klasik dan Kesusasteraan Melayu Moden.
2.0 KEBUDAYAAN
MELAYU
Masyarakat Melayu mempunyai banyak kebudayaan yang
diwarisi secara turun temurun. Kebudayaan Melayu merupakan keseluruhan sistem kehidupan
yang yang diamalkan oleh masyarakat Melayu yang merangkumi unsur sosial,
kepercayaan, sistem simbol, teknologi, ekonomi dan organisasi yang dimiliki
bersama oleh masyarakat Melayu. Kebudayaan Melayu juga boleh ditakrifkan
sebagai cara hidup masyarakat Melayu. Dalam konteks sosiologi, budaya Melayu
bermaksud cara hidup yang menjadi kepunyaan bersama dalam kalangan masyarakat
Melayu. Kebudayaan Melayu meliputi bahasa, agama, kesenian, adat, peraturan dan
sebagainya.
Secara
ringkasnya, kebudayaan Melayu merupakan amalan masyarakat Melayu yang menjadi
kepunyaan semua orang yang berbangsa Melayu. Kebudayaan Melayu terbahagi kepada
dua jenis, iaitu budaya material dan budaya bukan material. Contoh budaya
material ialah makanan, pakaian dan rumah. Manakala, contoh budaya bukan
material ialah adat resam, pantang larang
dan kepercayaan orang Melayu.
2.1
KONSEP BUDAYA
Terdapat
pelbagai takrifan yang dikemukan mengenai konsep budaya. Syed Ismail bin Syed
Mustafa & Ahmad Subki bin Miskon (2012) ,
mengatakan perkataan budaya berasal daripada cantuman perkataan Sanskrit
dan Melayu yang membawa pengertian berikut:
a)
Buddhi
( Sanskrit ) : kecergasan fikiran dan akal
Ini membawa maksud bahawa budaya itu
adalah kecergasan akal fikiran seseorang yang akan menentukan tahap pemikiran
mereka dalam menangani suatu permasalahan dan seterusnya mencari jalan
penyelesaian kepada masalah tersebut.
b)
Daya
( melayu ) : kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruh
Ini pula memberi maksud bahawa
seseorang individu itu menggunakan segala kekuatan kuasa, tenaga dan
pengaruhyang semula jadi bagi membantu menjana pemikiran.
Gabungan
daripada perkataan tersebut membawa maksud bahawa budaya merupakan kebolehan
seseorang individu menggunakan kekuatan kuasa, tenaga dan akal fikiran ke arah
meningkatkan kecergasan akal fikiran bagi menangani sesuatu masalah seterusnya
menyelesaikannya. Daripada pernyataan di atas, penyelesaian yang diterima akan
dijadikan amalan dan seterusnya dijadikan budaya dalam kelompok masyarakat.
Edward Burnett
Taylor (1874) mendefinisikan kebudayaan sebagai keseluruhan cara hidup yang
kompleks dan merangkumi pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral,
undang-undang, adat istiadat serta lain-lain kebolehan dan tabiat yang
diperolehi oleh manusia sebagai anggota sesebuah masyarakat. Ini merujuk kepada
perkataan ‘Bourdies’yang membawa maksud satu proses sosial yang membolehkan
budaya dan unsur sosial saling berinterksi. Penjelasan ini merujuk kepada
setiap aspek yang merujuk kepada pengamalan nilai dalam masyarakat yang begitu
rencam dan kompleks. Proses sosialisasi turut akan mengembangkanbudaya dalam
sesebuah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa.
Piddington
(1952) menafsirkan budaya sebagai satu himpunan kelengkapan intelek dan
kebendaan yang dapat memenuhi kehendak biologi dan kemasyarakatan serta dapat
menyesuaikannya dengan kehendak persekitaran.
Menurut Kamus
Dewan (2005), budaya ialah kemajuan pemikiran, akal budi(cara berfikir),
berkelakuan dan sebagainya. Budaya juga diklasifikasikan sebagai satu cara
hidup yang diamalkanoleh kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial, susunan
organisasi ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat resam dan nilai.
Daripada
tafsiran-tafsiran tersebut,budaya boleh dikatakan sebagai cara hidup atau
sesuatu perkara yang dilakukan oleh sesebuah kelompok masyarakat yang dijadikan
sebagai amalan dalam kehidupan seharian. Setiap kelompok masyarakat mempunyai
budaya yang tersendiri. Kewujudan budaya inilah yang dapat membezakan kumpulan
sesebuah masyarakat di Malaysia.
2.2
KONSEP MASYARAKAT
Syed Ismail bin Syed Mustafa
& Ahmad Subki bin Miskon (2012) dalam buku Budaya dan Pembelajaran,
menjelaskan bahawa masyarakat merupakan sekelompok besar manusia yang hidup
saling berhubungan dan bergantungan berasaskan satu budaya tertentu dan
mempunyai matlamat yang sama. Perhubungan itu wujud berdasarkan satu sistem
berasaskan unsur-unsur saling berhubungan sesama manusia. Kumpulan masayarakat
ini terdiri daripada manusia yang hidup bersama dan berorganisasi atas dasar
saling berhubungan dari pelbagai aspek cara hidup.
Ralph Linton
(1936), melihat masyarakat sebagai “kelompok
manusia yang telah cukup lama hidup bersama dan saling bekerjasama
sehingga dapat mengorganisasikan diri dan meletakkan diri mereka sebagai
kesatuan sosial yang mempunyai batas-batas tertentu.”
Lucy Mair
(1955), menyatakan bahawa “ masyarakat adalah satu gagasan yang terdiri
daripada manusia yang saling berhubungan secara kolektif dengan mempunyai hak
dan tanggungjawab yang saling mengiktiraf.
Menurut Kamus
Dewan (2005), masyarakat ialah kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu
tempat dengan peraturan dan cara tertentu.
Oleh itu, masyarakat boleh didefinisikan sebagai sekumpulan manusia hidup
bersama, saling berhubungan dan bekerjasama antara satu sama lain, mempunyai
kesatuan sosial, serta sentiasa membina kebudayaan demi mencapai kesejahteraan
bersama. Perhubungan ini akan mewujudkan interaksi yang harmoni dalam kalangan
anggota masyarakat. Masyarakat hidup secara berkelompok, mempunyai budaya yang tersendiri
dan saling bergantung dengan golongan yang wujud bersama serta tinggal di
sebuah komuniti yang teratur.
2.3
PENGARUH LUAR DALAM MASYARAKAT MELAYU
Kedatangan pengaruh dari
negara luar banyak mempengaruhi kebudayaan masyarakat Melayu pada masa kini.
Antaranya termasuklah pemberian angpau ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Budaya ini lazimnya berasal dari budaya masyarakat Cina. Dalam masyarakat Cina,
pemberian angpau adalah daripada golongan yang sudah berkahwin kepada mereka
yang masih bujang, tetapi, dalam masyarakat Melayu, pemberian angpau adalah
daripada orang dewasa tidak kira yang sudah berkahwin ataupun bujang kepada
remaja dan kanak-kanak kecil yang masih bersekolah. Malahan ada juga yang
memberi angpau kepada ibu bapa dan datuk serta nenek.
Selain
itu, pengaruh luar juga mempengaruhi adat perkahwinan masyarakat Melayu.
Pengaruh adat perkahwinan Melayu merupakan pengaruh adat perkahwinan orang yang
beragama Hindu. Dalam masyarakat Melayu, pasangan yang berkahwin dikatakan
sebaga raja sehari dan diadakan upacara bersanding sebagai kemuncak upacara
tersebut. Pasangan mempelai diletakkan di atas pelamin tanpa bergerak-gerak.
Penggunaan beras kunyit semasa semasa upacara persandingan bertujuan untuk
memberi semangat kepada pasangan pengantin. Dalam masyarakat Hindu,
persandingan merupakan adat Hindu yang mengagungkan perkahwinan Dewa Rama dan
Dewi Sita. Begitu juga dengan amalan berinai semasa perkahwinan masyarakat
Melayu yang merupakan budaya masyarakat Hindu.
Adat
membelah mulut bayi pula merupakan pengaruh dari adat Hindu yang mencecah madu
dan minyak sapi ke bibir bayi supaya bayi tersebut panjang umur dan mendapat
kebahagiaan dalam hidup. Upacara ini dilakukan oleh Brahmin. Namun, upacara
mencecah garam ke dalam mulut bayi dalam masyarakat Melayu kini digantikan
dengan mencecapkan air zam-zam atau kurma. Amalan pembacaan mantera pula
digantikan kepada pembacaan surah al-Fatihah, surah al-Ikhlas dan lain-lain
lagi.
3.0 KESUSASTERAAN MELAYU
Kesusasteraan Melayu merujuk kepada hasil karya dan
ciptaan seni yang terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu. Namun,
perkembangan masyarakat yang pesat hari ini telah mengubah dan menjarakkan
hubungan sastera dengan kehidupan. Perubahan ini teah menyebabkan sastera
menjadi satu bidang kegiatan yang khusus dan tersendiri. Sastera yang dahulunya
menjadi hak milik bersama kini telah berubah menjadi kegiatan yang berkaitan
pernyataan diri dan hak cipta.
3.1
KONSEP KESUSASTERAAN MELAYU
Kesusasteraan
ialah satu bentuk ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Siti Hajar
Abdul Aziz (2011) dalam buku Bahasa Melayu I edisi kedua, perkataan
kesusasteraan terbentuk daripada perkataan Sanskrit, iaitu susastera yang bermaksud huruf
atau buku indah. sastera dari segi
makna umu bermaksud bahasa yang digunakan dalam kitab-kitab. Menurut kamus, kesusasteraan
bermaksud hasil seni atau karya tulisan dalam bentuk prosa atau puisi yang
mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang tertentu. Seni kesusasteraan pula ialah
seni karang-mengarang bahan-bahan sastera yang berbentuk prosa dan puisi.
Kesusasteraan dalam
Bahasa Melayu juga mempunyai maksud yang sama dengan literature dalam Bahasa
Inggeris. Perkataan literature berasal daripada perkataan literate yang
bermaksud huruf atau abjad. Dalam bentuk asalnya, perkataan literature
digunakan untuk tatabahasa dan puisi.
Istilah
kesusasteraan yang digunakan dalam Bahasa Melayu berasal daripada perkataan
Sanskrit, iaitu sastra. Kata dasar sas- bermaksud mengarahkan, mengajar atau
memberi petunjuk, manakala -tra merujuk kepada alat. Jadi, sastra bererti alat
untuk mengajar. Awalan su- pula bereti baik atau indah. imbuhan ke- dan -an
membawa maksud yang menyeluruh iaitu, segala yang tertulis, yang bernilai seni
dan estetika serta dengan maksud memberikan panduan, petunjuk dan pengajaran (
Prof Dr Hasyim Awang, Aritkel akademik, hal 2).
Dalam konteks
pendidikan pula, kesusasteraan Melayu ialah karya asal yang tertulis dalam
Bahasa Melayu berunsurkan keindahan dan kehalusan sama ada berbentuk novel,
cerpen drama, sajak, prosa tradisioanal atau puisi tradisional bagi mengimbangi
intelek, rohani, emosi dan jasmani di samping memaparkan nilai kemanusiaan dan
citra masyarakat.
Daripada
definisi di atas, dapatlah disimpulkan bahawa kesusasteraan Melayu merupakan
hasil karya masyarakat Melayu yang mempunyai kata-kata yang indah, memberi
mesej dan menggambarkan sesuatu perasaan dan keadaan yang tertentu sama ada
mengenai diri sendiri ataupun sekelompok masyarakat. Sastera juga dianggap
sebagai gambaran peribadi berupa pengalaman, pemikiran, perasaan, idea,
semangat ataupun keyakinan dalam bentuk gambaran konkrit yang membangkitkan
keperibadian melalui pengantara bahasa tidak kira sama ada bermutu atau tidak
bermutu.
3.2
CIRI-CIRI KESUSASTERAAN
Kesusasteraan berbeza
dengan ciptaan seni yang lain kerana ciptaan sastera menggunakan bahasa sebagai
medium penyampaiannya. Kesusasteraan Melayu tidak akan bermakna jika tidak
mempunyai matlamat dan tidak ditujukan kepada seseorang ataupun sekumpulan
pembaca. Oleh itu, kesusasteraan perlu bersifat positif dan mempunyai ciri-ciri
yang tertentu yang menggambarkan keunikannya seperti yang berikut:
3.2.1 KEINDAHAN
Keindahan merupakan gaya
dan lenggok bahasa yang digunakan dalam karya sastera yang dapat menyerlahkan
keindahan sesebuah hasil karya itu. Keindahan hasil sastera bergantung kepada
kesatuan unsur yang membentuk suatu susunan atau struktur karya sehingga
menjadi sesuatu yang bulat dan utuh. Sebuah karya seni yang indah dan menarik
jika unsur-unsur yang terkandung di dalamnya mengandungi keutuhan, keselarasan,
keseimbangan dan penekanan. Unsur- unsur yang berbeza mempunyai cara tersendiri
dalam membentuk kesatuan yang utuh bagi memperlihatkan keutuhan sesebuah karya.
Misalnya, bentuk penulisan novel berbeza dengan penghasilan puisi kerana
kedua-dua hasil karya tersebut mempunyai unsur yang berbeza.
3.2.2 MENCERMINKAN
PENGALAMAN
Dalam konteks ini,
pengalaman merujuk kepada tindak balas yang utuh daripada jiwa manusia yang
digambarkan secara realiti. Perkataan utuh merujuk kepada fikiran, imaginasi
dan perasaan, manakala perkataan realiti pula merujuk kepada sesuatu yang dapat
memberi kesedaran kepada manusia. Dalam sastera, pengalaman diceritakan melalui
bahasa. Bahasa merupakan peranti yang dapat meneruskan fikiran, perasaan dan
imaginasi pengkarya bagi membolehkan pembaca menghayati, memikirkan dan
merasakan perkara yang ingin disampaikan oleh pengkarya.
3.2.3 KARYA SENI
Karya seni terbahagi kepada
dua kategori, iaitu karya sastera dan karya bukan sastera. Dalam hal ini,
terdapat tiga perkara yang dapat membezakan antara karya sastera dan karya
bukan sastera, iaitu bersifat fiksyen, nilai-nilai estetik dan gaya bahasa yang
khusus.
3.2.3.1
bersifat fiksyen
Karya sastera yang
dihasilkan melalui imaginasi pengkarya berdasarkan pengalaman atau tindak
balasnya terhadap alam realiti. Daya imaginasi penting dalam penghasilan
sesebuah karya fiksyen kerana melalui dunia khalayan, pembaca dapat menghayati
kenyataan dan masalah sesebuah karya ke dalam bentuk konkrit.
3.2.3.2
nilai-nilai estetik
Nilai-nilai estetik membolehkan
pengkarya mengungkapkan isi hati dengan jelas dan mendalam.
3.2.3.3 gaya
bahasa yang khusus
Penggunaan bahasa dalam
karya sastera berbeza dengan karya bukan sastera. Bahasa yang digunakan dalam
karya sastera lebih kompleks dan puitis bagi menarik perhatian pembaca membaca
dan menghayatinya.
3.2.4 PENGALAMAN SENI
Pembaca dapat memahami
hasil karya melalui peristiwa sastera yang dialami. Demikian juga sebaliknya.
Seseorang pengkarya mendapat kepuasan atas karyanya jika pembaca dapat memahami
dan merasai perasaan pengkarya serta menerima hasil karya karyanya. Namun,
pembaca harus sedar bahawa memahami dan merasai fikiran tidak cukup. Malah,
pembaca harus sedar akan nilai-nilai yang terkandung dalam hasil sastera
tersebut.
3.3 JENIS DAN BENTUK KESUSASTERAAN
Jenis dan bentuk kesusasteraan mempunyai pelbagai ragam
kerana masing-masing memiliki unsur-unsur khusus yang membentuk pola secara
berbeza untuk tujuan tertentu. Kesusasteraan Melayu dari segi jenis dan
bentuknya dapat dibahagikan kepada Kesusasteraan Melayu Klasik ( tradisional)
dan Kesusasteraan Melayu Moden.
3.3.1 Kesusasteraan
Melayu Klasik ( Tradisonal )
Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2011) , klasik bermaksud
serius dan abadi nilainya.,tertinggi mutunya dan menjadi standard kepada yang lain,mempunyai
gaya yang sederhana, mempunyai ciri-ciri yang lazim dan tidak berubah mengikut
masa. Dalam hal ini, sastera klasik merupakan bentuk kesusasteraan yang masih
kekal hingga ke hari ini dan masih menjadi sumber pengetahuan, amalan,
pengajaran, sempadan tingkah laku atau sumber atau pengenalan masyarakat Melayu
dalam kepada masyarakat di luar.
Sastera
klasik berbeza dengan sastera lama kerana sastera lama bersifat sementara. Hal
ini demikian kerana apabila datang yang baharu, maka hilanglah yang lama. Namun,
sastera tradisional merupakan sastera yang mempunyai sfat yang diwarisi secara
turun-temurun walaupun dari segi jangka masa sastera itu telah lama dihasilkan.
Sastera
Melayu klasik pada awalnya menerima pengaruh Hindu dan Buddha. Walau bagaimanapun, pengaruh Hindu Buddha
kurang menyumbang ke arah perkembangan Kesusasteraan Melayu klasik. Hal ini
demikian kerana bahasa yang digunakan dan cerita yang dpaparkan sukar difahami.
Bahasa yang digunakan adalah bahasa Sanskrit dan Melayu Kuno. Cerita dewa-dewa
yang digambarkan pula jauh dari cara hidup masyarakat Melayu.
Setelah
kedatangan Islam, iaitu pada abad ke-14 hingga abad ke-16, kesusasteraan Mleyu
Klasik mengalami perkembangan yang positif. Hasilnya, muncul tulisan Jawi yang
merupakan tulisan penting bagi penganut agama Islam pada ketika itu. Agama Islam mulai bertapak di istana dan
mengambil alih peranan agama Hindu dan Buddha. Istana berperanan pusat
perkembangan kesusasteraan Melayu klasik yang utama. Penulis mengarang karya
baharu berdasarkan perintah raja. Hikayat yang dihasilkan tidak terhad kepada
bidang kesusasteraan sahaja malahan juga meliputi agama, perubatan, sejarah dan
sebagainya. Pertambahan keperluan terhadap karya telah Berjaya mewujudkan pusat
penyalinan dan penerbitan hasil kesusasteraan.
Kesusasteraan Melayu klasik
merupakan hasil karya seni yang disampaikan melalui bahasa. Tujuannya adalah
untuk menyatukan falsafah pencipta dan penerimanya pada masa iu. Kesusasteraan
Melayu klasik terbahagi kepada dua genre, iaitu sastera rakyat (lisan) dan
sastera istana (tulisan).
3.3.1.1 Sastera
Rakyat (Lisan)
Berdasarkan konsep sastera
rakyat, sastera ditakrifkan sebagai hasil-hasil kreatif yang termasuk dalamnya
daya ciptaan imaginative pencipta yang mengandungi atau menggambarkan nilai-nilai
world view itu sendiri. Masyarakat pula bermaksud kumpulan manusia yang hidup
secara berkelompok dan bersifat primitif. Rakyat pula ialah orang biasa yang
hidup kolektif bagi membentuk satu sistem kekeluargaan yang besar. Mereka hidup
dalam kumpulan dan mengamalkan nilai kemasyarakatan yang tebal dan berpegang
teguh pada corak budaya tradisional. Sastera rakyat merupakan hasil karya yang
diinspirasikan dan disampaikan secara lisan.
Sastera lisan,
menurut Zaidan et al. (2000: 182), adalah ungkapan dari mulut ke mulut, hasil
kebudayaan lisan dalam masyarakat tradisional yang isinya dapat disejajarkan
dengan sastera tulis dalam masyarakat moden. Dengan kata lain, sastera yang
diwariskan secara lisan seperti pantun, nyanyian rakyat, dan cerita rakyat.
Sastra lisan menurut mereka disebut juga sastera rakyat.
Antara ciri sastera rakyat termasuklah sastera rakyat
disebar dan diwariskan secara lisan. Selain itu, sastera rakyat juga bersifat
tradisional dan lama, iaitu berada dalam sesuatu kebudayaan dalam tempoh yang
lebih lama daripada dua generasi. Sastera rakyat juga wujud dalam variasi yang
berbeza-beza serta bersifat anonimi, iaitu menggunakan nama samaran atau
langsung tiada nama pencipta. Seterusnya, sastera rakyat menjadi hak milik
semua masyarakat yang menghasilkannya. Sastera rakyat turut mempunyai bentuk
berpola dengan plot yang hampir sama, mempunyai fungsi tertentu seperti memberi
pengajaran serta penulisannya bersifat sederhana, spontan dan kadangkala agak
kasar.
sastera naratif terbahagi kepada mitos, legenda dan cerita rakyat manakala sasteranukan naratif terdiri daripada puisi rakyat.
i.
Mitos
Mitos
ialah cerita yang dianggap benar-benar terjadi dan dianggap suci oleh empunya
cerita dan masyarakat yang mendukungnya.mtos mengisahkan kejadian alam semesta,
manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan, bentuk muka bumi dan kejadian alam. Tokoh yang
terlibat pula terdiri daripada makhluk halus, dewa atau separuh dewa yang terjadi
pada zaman dahulu.
Ciri-ciri mitos termasuklah dianggap
benar-benar terjadi, peristiwa yang aneh, tetapi penting, dianggap keramat dan
memberi kesan kepada masyarakat serta berlaku pada zaman lampau.
Mitos dalam sastera Melayu terdiri
daripada tiga jenis,iaitu mitos asal usul, mitos institusi sosial dan mitos
politik. Mitos institusi sosial merupakan cerita yang mengisahkan asal usul
sesebuah institusi sosial dalam masyarakat Melayu. Contohnya, mitos kedatangan
Islam, institusi adat, institusi bomoh yang melibatkan perubatan pemulihan,
pendiding jari, adat berandam dan semah pantai.
Namun, cerita-cerita mitos Melayu
sudah banyak mengalami kecairan hingga kadang-kadang tidak lagi menjadi mitos
ekoran daripada pengaruh agama yang dianuti.
ii.
Legenda
Legenda
merupakan cerita yang dipercayai benar-benar berlaku tetapi tidak dianggap
suci. Tokohnya terdiri daripada manusia yang mempunyai sifat luar biasa.
Ciri-ciri lagenda termasuklah sejenis komunikasi liisan
yang bercorak cerita berasaskan kisah-kisah.’latar masa dan sejarahnya tidak semestinya masa lampau,
tetapi masih ada hubung kait dengan masa silam. Selain itu, kisahnya ada kaitan
dengan zaman sekarang kerana kepercayaan terhadap keramat seperti Perigi Hang
Tuah. Tokoh dan tempat mempunyai sifat luar biasa serta dipercayai benar-benar
berlaku.
Antara jenis legenda daaalm masyarakat Melayu ialah
legenda keagamaan, iaitu cerita mengenai orang alim dan penyebar agama. Tokoh
tersebut memang wujud dan menjadi bualan masyarakat hingga menjadi supernatural,
misalnya Habib Noh dan Tok Kenali.
Selain itu, terdapat juga legenda tokoh seperti cerita
Mahsuri. Cerita Mahsuri dianggap benar kerana ruang dan masa berkaitan cerita
tersebut dipercayai benar-benar wujud seperti makam Mahsuri yang terdapat di
Pulau Langkawi. Legenda tersebut mengisahkan Mahsuri yang dihukum sula akibat
tuduhan melakukan maksiat ketika ketiadaan suaminya. Namun, darah putih yang
mengalir dari lukanya merupakan bukti bahawa Mahsuri tidak bersalah. Sebelum
menghembuskan nafasnya terakhir, Mahsuri melafazkan sumpah ke atas Pulau
Langkawi bahawa Pulau tersebut akan menjadi ‘padang jarak padang terkukur’
selama tujuh keturunan.
iii.
Cerita
Rakyat
Cerita
rakyat berbentuk prosa dan tidak dianggap benar-benar terjadi. Crita rakyat
merupakan sumber hiburan, menegakkan kebenaran dan mengandungi moral atau
sindiran.
Antara jenis cerita rakyat ialah
cerita binatang. Cerita ini ditokohi oleh binatang yang mempunyai gambaran
sikap dan tingkah laku seperti manusia. Tamsilnya, cerita Sang Kancil menipu Gergasi
mengisahkan kecerdikan Sang Kancil menggunakan helah untuk menghalau gergasi
yang mengganggu ketenteraman tempat tinggal mereka.
iv.
Puisi
Rakyat
Puisi
rakyat muncul pada zaman sebelum wujudnya sistem tulisan. Karya ini
menggambarkan manusia pada zaman itu static dan terikat dengan peraturan, adat
dan undang-undang. Puisi rakyat mempunyai kalimat yang tidak bebas, iaitu
setiap jenis sudah terikat dengan bentuk dan pola tertentu.puisi mempunyai
bahasa yang indah, berirama dan mempunyai bentuk tertentu. Puisi merupakan
karangan berangakap dan mempunyai kalimat yang tidak terbatas. Puisi ialah
ekspresi daripada karangan imaginative manusia yang terjelma dan tersusun dalam
kata dan bahasa. Penggunaan bahasa dalam puisi adalah padat dan mempunyai makna
yang mendalam. Penghasilan karya puisi memerlukan keterlibatan perasaan yang
sensitive, pemilihan diksi, rima dan suku kata yang tertentu.
Antara puisi rakyat ialah pantun.
Pantun ialah karangan berangkap yang terbentuk secara berpasangan dalam jumlah
baris yang genap, iaitu dari dua baris serangkap hingga pantun 16 baris
serangkap. Bilangan suku kata pada setiap baris adalah antara 8-12. Setiap
rangkap pantun terdiri daripada satu unit pembayang dan maksud serta diakhiri
dengan rima akhir abab atau aaaa. Contohnya, pantun nasihat dan pantun berkait.
Puisi rakyat yang kedua ialah syair,
iaitu puisi yang terdiri daripada empat baris serangkap. Tujuannya adalah untuk
dilagukan dan diperdengarkan. Rima akhirnya adalah sama, iaitu aaaa.
Keseluruhan rangkap syair ialah maksud dan merupakan idea yang berlanjutan.
Contoh syair ialah syair nasihat dan syair agama.
Puisi rakyat yang seterusnya adalah
gurindam. Gurindam merupakan sejenis puisi yang tidak tentu bentuknya. Gurindam
yang bentuknya terikat kebiasaannya terdiri daripada dua baris serangkap dengan
rima akhir yang sama. Gurindam ini memerlukan beberapa rangkap untuk
melangkapkan maksud keseluruhannya. Gurindam yang bentuknya tidak terikat pula
selalunya tidak berpasangan dan tidak berangkap. Gurindam digubah dalam bahasa
yang indah untuk dinyanyikan sebagai hiburan serta memberi pengajaran untuk
pedoan hidup.
3.3.1.2 Sastera Istana
(Tulisan)
Sastera tulisan mula
diperkenalkan setelah penerimaan Islam sekitar abad ke-15 dan berkembang dalam
istana.
Sastera
hikayat terbahagi kepada tiga jenis berdasarkan unsur-unsur yang terdapat di
dalamnya, iaitu unsure Hindu, Islam dan Hindu-Islam. Contoh sastera hikayat
ialah hikayat Gul Bakawali, Hikayat seri Rama dan Hikayat Raja Pasai.
Sastera undang-undang pula
dijadikan sebagai bahan kajian tentang sistem pemrintahan, sistem pentadbiran
dan susun lapis masyarakat lama. Genre ini terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu
adat temenggung dan adat perpatih. Contoh sastera undang-undang ialah Hukum
Kanun Melaka, Undang-undang Laut Melaka dan Undang-undang Pahang. Manakala
sastera undang-undang adat perpatih yang hanya diamalkan di Negeri Sembilan
adalah Undang-undang 99 Perak.
Sastera epik juga disebut
sebagai sastera pahlawan dan bersifat sejagat. Sastera epik mementingkan ciri
kepahlawanan dan keperwiraan yang unggul. Tokoh ini diberi gambaran secara
berlebih-lebihan sehingga menjadi sempurna dan disanjung oleh masyarakat. Genre
ini terbahagi kepada dua jenis, iaitu epik kebangsaan yang diwakili oleh
Hikayat Hang Tuah dan epic berunsur Islam seperti Hikayat Amir Hamzah.
Sastera panji merupakan karya
yang isinya berkisar sekitar kisah pengembaraan, percintaan dan peperangan.
Watak utamanya bergelar Panji. Selam berkelana, panji mengalami pelbagai
peristiwa hingga akhirnya bertemu dengan kekasihnya. Contohnya, Hikayat
Cendawan Putih.
Sastera agama kebanyakannya
berfokus pada cerita-cerita yang menggambarkan kehebatan Nabi Muhammad saw
dalam menyebarkan agama Islam ke suluruh dunia walaupun menghadapi pelbagai
cabaran dan tentangan. Buktinya dapat dilihat dalam Hikayat Bulan Berbelah.
Salah satu kitab sastera
ketatanegaraan bertajuk Kitab Nasihat Segala Raja-Raja. Kitab ini digunakan
oleh al-Sultan Zainal Abidin III sebagai panduan dalam pemerintahan baginda.
3.3.2
Kesusasteraan Melayu Moden
Menurut Annas Hj Ahmad
(1988:152), hasil karya sastera selepas tahun 1800 Masihi digolongkan dalam sastera moden. Pembahagian dari segi
masa ini semata-mata bertujuan untuk memudahkan
kita untuk memahami bentuk dan unsur perbezaan dalam sastera Melayu. Sebagai
contoh, sajak bebas pada hari ini merupakan suatu penyimpangan daripada bentuk
puisi lama seperti pantun dan syair. Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi merupakan
pengkarya sastera Melayu Moden. Hasil karya beliau yang terkenal adalah Hikayat
Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah.
Cerpen ialah
gabungan dua perkataan, iaitu cerita dan pendek. Cerpen berkembang apabila
kegiatan persuratkhabaran Melayu mencapai zaman kegemilangannya sekitar tahun
1930-an. Cerpen bukan sahaja menjadi alat yang menggambarkan sikap, perasaan,
pandangan dan fikiran pengarang malahan juga memberi gambaran tentang suatu
zaman, sama ada berhubung masalah sosial, politik atau ekonomi. Cerpen biasanya
berkisar mengenai sesuatu kejadian atau peristiwa yang menjadi fokus utama. Cerpen
membawa satu tema sahaja dan beberapa persoalan bagi menghasilkan kesan
tertentu dan mendalam kepada pembaca. Dari segi perwatakan, cerpen memusatkan
perkembangan watak kepada beberapa orang tertentu sahaja. Watak-watak lain
hanyalah bertujuan untuk memperkukuhkan kewibawaan watak utama Pertentangan
antara watak protagonis dan antagonis akan mencetuskan konflik yang dianggap
penting sebagai unsur dramatik. Dalam penulisan cerpen, hanya terdapat satu
plot sahaja dan plot inilah yang dikembangkan dengan rapi, teliti dan tidak
rumit. Pencetusan perasaan dan penyemarakan emosi dalam cerpen menerbitkan
ketegangan dan menarik pembaca untuk merasai pengalaman yang digammbarkan dalam
cerpen.
Novel pula
ialah prosa rekaan yang panjang yang di dalamnya termuat sebahagian daripada
sebuah kehidupan. Istilah novel berasal daripada bahasa Itali, iaitu novella
yang bermaksudsatu benda kecil yang baharu. Novel mengisahkan kejadian yang
dipusatkan kepada sebahagian daripada kehidupan manusia pada suatu tempat dan
masa tertentu. Menurut Shahnon Ahmad (1972:4), novel merupakan satu bentuk
pentafsiran rencam hidup manusia yang terbina dalam bentuk sastera cereka.
Cerpen merangkumi tiga factor utama yang saling berkait, iaitu pengalaman
peribadi, realiti rencam hidup dan imaginasi. Idea yang tercetus daripada
ketiga-tiga rangkuman ini bukan sahaja berkisar mengenai tahap kehidupan
manusia bahkan boleh berlegar di sekitar kehidupan selain daripada manusia itu
sendiri.
Novel yang
bercorak kemasyarakatan telah dihasilkan oleh Harun Aminurrashid. Antara
novelnya termasuklah Cinta Gadis Rimba
(1947), Darah Kedayan (1947) dan Minah Joget Moden (1949).novel Minah Joget
Moden ini dianggap menarik kerana mempamerkan sikap negatif masyarakat terhadap
penari-penari joget. Sikap masyarakat yang sebegini diperbetulkan oleh
pengarang melalui watak anak wayang, iaitu Minah yang petah bercakap dan
bersyarah tentang kesucian para seniman dan seniwati Melayu.
Selain itu,
novel yang bercorak semangat kebangsaan juga lahir pada pertengahan tahun
1940-an, iaitu novel Pahlawan Rimba Malaya (1946). Novel ini memberi persoalan
tentang semangat kebangsaan pejuang gerila Melayu menentang penjajahan Jepun.
Harun Aminurrashid pula telah menghasilkan novel yang berjudul Siapakah Yang
Bersalah (1949) yang menceritakan mengenai pengalaman sendiri yang terpaksa
bekerjasama dengan Jepun. Melalui pengalaman ini, beliau mendapat idea untuk
memajukan bangsanya sendiri.
Zaman
kegemilangan novel Melayu adalah pada tahun 1960-an, iaitu tahun-tahun mengisi
kemerdekaan. Hasil karya dipertingkatkan dari segi kualiti dan kuantiti.
Peraduan mengarang yang telah diadakan berjaya melahirkan beberapa naskah novel
yang baik dan tinggi nilainya seperti Salina oleh A Samad Said, Lingkaran dan
Sandera oleh Arena Wati, Merpati Putih Terbang Lagi oleh Khadijah Hashim dan
Pulanglah Perantau oleh Ibrahim Omar. Peraduan ini sekaligus melahirkan
pengarang baharu seperti A Samad Said, Arena Wati, Shahnon Ahma dan ramai lagi
pengarang.
Sajak merupakan
puisi Melayu moden yang muncul pada zaman Angkatan 45. Pada zaman ini, tiada
ukuran tertentu dalam penghasilan puisi kecuali isinya sahaja. Perkara yang
menjadi landasan adalah ekspresi jiwa, iaitu bahasa, rima dan pensajakan harus
berdasarkan jiwa pengarang. Sajak merupakan puisi Melayu moden yang terlepas
dari ikatan puisi melayu tradisional. Sajak mempunyai falsafahnya yang
tersendiri, iaitu tidak terkonkong dan tidak terikat dengan bentuk puisi lama
yang dianggap ketat dan mengongkong. Perasaan dapat dilahirkan dengan yakin dan
puas serta segala yang diucapkan terasa lancer, segar, indah dan bebas.
Cara penulisan
yang baharu telah menimbulkan beberapa sifat sajak, antaranya termasuklah
balada, iaitu puisi yang mengandungi
cerita, kisah atau hikayat yang berkaitan dengan perasaan sedih atau
satu-satunya kisah yang pernah dialami oleh pengarang. Misalnya, sajak Hang
Tuah yang merupakan hasil karya Amir Hamzah menceritakan keperwiraan Hang Tuah
dalam bentuk puisi. Selain itu, terdapat juga sajak roman, iaitu sajak tentang
cinta kasih atau curahan kasih sayang yang diinterpretasikan dalam bentuk
sajak. Sajak jenis ini bukan sahaja merangkumi ungkapan cinta terhadap kekasih,
malahan juga menunjukkan kasih terhadap Tuhan, agama, tanah air dan bangsa.
Contohnya dapat dilihat dalam sajak Terima Kasih Kekasih.
4.0 PENUTUP
Kesimpulannya, kaum Melayu mempunyai keunikan dan
kelebihannya yang tersendiri. Keunikan dan kelebihan ini telah membawa ke arah
perkembangan kebudayaan dan kesusasteraan Melayu. Kebudayaan dan kesusasteraan
Melayu ini banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur yang datang dari luar dan
diserap masuk dalam amalan kebudayaan dan hasil kesusasteraan masyarakat
Melayu.
Pada
awalnya, kebudayaan Melayu sama ada berbentuk material mahupun bukan
material lebih banyak dipengaruhi oleh
unsur Hindu. Hal ini demikian kerana masyarakat Melayu pada zaman awal tidak
mempunyai agama sebelum kedatangan agama Hindu. Setelah kemunculan agama Hindu,
mereka mulai mengamalkan adat masyarakat Hindu dan masih ada segelintir
daripada adat tersebut yang masih menjadi kebudayaan masyarakat pada masa
kiini.
Kesusasteraan
Melayu juga menerima pengaruh dari luar seperti Hindu dan Islam. Sastera Melayu
bertukar konsep mengikut peralihan zaman. Misalnya pada zaman peralihan antara
Hindu dengan Islam, sastera Melayu pada mulanya banyak dipengaruhi oleh unsur
Hindu. Namun, kedatangan Islam menyababkan banyak berlaku pertembungan yang
membawa kepada perkembangan baharu dalam sastera Melayu.
Keunggulan
dan kemegahan kebudayaan dan kesusasteraan Melayu mencerminkan kreativiti dan
gaya hidup masyarakat Melayu. Justifikasinya, masyarakat Melayu disarankan agar
terus menjaga dan memelihara warisan kebudayaan dan kesusasteraan Melayu agar
warisan Melayu “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.
Mane rujukan dia?
ReplyDelete