PERTUTURAN VERBAL
Pertuturan verbal
melibatkan beberapa aspek. Antaranya ialah sebutan, intonasi, tekanan, jeda,
kelancaran, kefasihan dan tatabahasa.
Sebutan
Sejak peringkat rendah
lagi, pelajar telah diajar mengenal huruf dan bunyi setiap huruf, suku kata
perkataan, rangkai kata, dan kalimat. Mereka kemudian dilatih menyebut aspek
tersebut. Semua ini bertujuan untuk melatih pelajar supaya dapat menyebut
sesuatu dengan tepat seperti yang sepatutnya. Mereka harus boleh menyebut
sesuatu dengan betul mengikut bunyi, ejaan dan makna. Biasanya, kesalahan
menyebut sering berlaku dalam kalangan para pelajar bahasa kedua contohnya
pelajar berbangsa Cina, India dan lain-lain. Gangguan bahasa ibunda sering
menghalang pembelajaran mereka.
Sebutan ialah
cara kita menyebut atau membunyikan sesuatu perkataan dalam sesuatu bahasa.
Dalam mana-mana bahasa di dunia ini terdapat dua cara penuturnya menyebut
sesuatu perkataan dalam bahasa itu, iaitu sebutan secara standard dan sebutan
secara dialek. Biasanya, dalam negara yang besar saiznya dan ramai bilangan
penduduknya (seperti China, Rusia dan India), sesuatu perkataan disebut menurut
daerah dialek-dialek tersebut.
Sungguhpun saiz
negara kita ini tidak begitu besar dibandingkan dengan negara yang tersebut di
atas, namun terdapat banyak dialek di Malaysia. Selain dialek atau bahasa
daerah, bahasa ibunda murid yang bukan berketurunan melayu juga boleh
mempengaruhi sebutan mereka apabila mereka bertutur dalam bahasa Melayu.
Misalnya perkataan ikan dalam bahasa Melayu baku disebut ‘ike’ ( dialek Kelantan) atau ‘ikang’
(dialek Terengganu).
Biasanya,
murid-murid di Kelantan mengalami masalah sebutan baku. Guru mampu mengatasi
masalah tersebut melalui kaedah yang berikut latih tubi untuk menyebut
perkataan yang bermasalah bagi murid- murid, memperdengar kepada murid model
sebutan bahasa Melayu baku daripada radio, televisyen dan sumber- sumber lain
dengan kerap dan menggalakkan dan memperbanyak latihan murid bercakap menggunakan
sebutan baku dalam situasi formal dan tidak formal. Misalnya, ketika murid
berbual dengan rakannya di luar bilik darjah seperti di kantin, di padang
permainan dan sewaktu menjalankan kegiatan kokurikulum di sekolah.
Intonasi
Intonasi ialah keadaan bunyi
yang menaik atau menurun sewaktu sesuatu ayat itu dilafazkan. Kadang-kala
disebut sebagai nada suara. Intonasi ayat dalam bahasa Melayu biasanya tidak
sama dan berbeza-beza mengikut jenis ayat yang dituturkan. Intonasi boleh
menurun, boleh menaik, boleh mendatar, boleh meninggi dan sebagainya. Ayat
tanya biasanya mempunyai intonasi yang menaik pada akhir ayat. Ayat penyata
pula mempunyai intonasi yang menurun.
Tekanan
Tekanan ialah salah satu
cara menyebut perkataan, frasa atau ayat dengan memberikan tekanan pada
tempat-tempat tertentu. Biasanya, tekanan itu dilakukan pada suku kata dan
bertujuan untuk menandakan keras atau lembut sesuatu ucapan itu.
Dalam bahasa
Melayu, tekanan tidak membezakan makna. Sekadar menyedapkan percakapan atau
bacaan (misalnya dalam sajak) atau menandakan tempat- tempat penting atau yang
perlu diberikan perhatian.
Tekanan juga
ialah tempat-tempat suara ditekankan apabila menyebut sesuatu perkataan menurut
suku kata dalam sesuatu perkataan. Tekanan pada peringkat perkataan boleh
disamakan dengan rentak dalam muzik iaitu apabila tekanan itu berubah dari satu
perkataan kepada satu perkataan yang lain.
Dalam bahasa
Melayu, aspek tekanan bagi peringkat perkataan (antara suku katanya) kurang
ketara jika dibandingkan dengan peranan tekanan sesuatu suku kata bagi
perkataan bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, tekanan memainkan peranan
penting dalam menyebut sesuatu perkataan atau ayat kerana tekanan menguatkan
aspek makna dalam konteks ayat.
Jeda
Jeda biasanya disebut juga
sebagai persendian iaitu unsur ini digunakan untuk memisahkan elemen-elemen
linguistik seperti perkataan, rangkai kata, atau ayat. Dalam sesuatu ayat yang
diucapkan, jeda digunakan sebagai hentian sebentar. Lambang jeda ditandai /#/,
dan apabila digunakan jeda boleh membawa makna yang berbeza. Contoh penggunaan
jeda adalah seperti berikut :
/#saya minum susu lembu#/
(maksudnya : orang yang
bercakap itu hanya minum susu lembu dan bukan susu yang lain).
/#saja minum susu # lembu
#/
(maksudnya: orang yang
bercakap itu memanggil orang yang dilawan bercakap itu sebagai lembu dan
menyatakan yang dia hanya minum susu)
Lambang jeda
yang menunjukkan pemisahan antara suku kata atau perkataan biasanya digunakan
seperti ini /+/. Dalam bahasa Melayu, lambang ini boleh membezakan makna.
Misalnya, perkataan-
perkatan yang berikut:
a. Berikan 1. Ber + ikan (maksud : mempunyai ikan)
2. berikan (maksud : menyerahkan)
b. Beritahu 1. Beri + tahu (maksud : memberi sejenis
makanan)
2. beritahu (maksud : memberi pengetahuan)
Kelancaran
Kelancaran bermaksud boleh
bertutur atau bercakap dengan baik dan kemas. Seseorang pelajar itu tidak akan
menghadapi sebarang masalah atau gangguan semasa percakapan itu berlangsung.
Dia boleh mengeluarkan idea, pendapat dan pandangan dengan baik dan menuturkan
idea, pandangan dan pendapat tersebut dalam bahasa yang kemas, licin dan
teratur.
Kefasihan
Kefasihan beerti boleh
bercakap bukan sahaja dalam bentuk yang kemas, teratur dan licin, tetapi boleh
juga membunyikan kata atau menyebut perkataan yang dituturkan itu secara tepat
dan jelas. Pada tahap ini, seseorang itu telah mencapai kesempurnaan berbahasa.
Ia boleh menuturkan bahasa itu seperti seorang penutur jati bahasa tersebut.
Tatabahasa
Tatabahasa adalah satu
sistem pertuturan atau undang- undang yang menggabungkan perkataan untuk
membentuk ayat- ayat. Peraturan atau undang-undang ini mempunyai kaedah dan
formula tertentu.
Tatabahasa
terdiri daripada aspek fonologi, morfologi, dan sintaksis. Dalam bahasa
pertuturan (lisan), walaupun lumrahnya aspek tatabahasa tidak begitu
dititikberatkan tetapi untuk memperoleh kebiasaan bertutur dan bercakap dengan
sempurna dan berkesan, aspek ini haruslah ditekankan. Seseorang pelajar harus
dijamin mampu bercakap mengikut tatabahasa yang betul.
Dari segi
fonologi, pelajar harus boleh membunyikan kata dan menyebutnya dengan tepat.
Dari segi morfologi, mereka harus boleh memilih, membina, dan menggunakan
perkataan dengan tepat dan betul. Dari segi sintaksis pula, mereka boleh
membina ayat-ayat dengan menggunakan tatabahasa yang betul, jelas dan kemas.
Penggunaan intonasi, tekanan, jeda, gaya dan sebagainya harus sesuai dengan
bahasa yang dituturkan.
PERTUTURAN BUKAN VERBAL
Bahasa bukan verbal merujuk
kepada komunikasi bukan lisan yang melibatkan aspek gerakan anggota badan,
gerakan mata dan isyarat tangan
Gerakan anggota badan yang berlaku dalam komunikasi bukan
lisan mempunyai makna-makna yang tertentu. Setiap pergerakan anggota badan
dapat menyampaikan sesuatu mesej. Pergerakan anggota badan biasanya membawa
makna sejagat yang difahami oleh semua orang seperti isyarat gerakan tangan,
isyarat air muka dan bahasa tubuh.
Selain itu, gerakan mata juga mempunyai makna tertentu
dalam komunikasi bukan lisan. Misalnya, mata sesorang yang bergerak ke sana ke
mari menunjukkan seseorang itu tidak berminat tentang topik yang dibicarakan.
Sementara itu, mata yang berkedip laju pula menunjukkan seseorang itu adalah
penipu. Apabila seseorang bercakap tanpa melihat mata orang yang sedang
bercakap dengannya menunjukkan bahawa dia malu dan tidak tenteram. Manakala
seseorang yang mata dan dahinya berkedut merupakan orang yang berminat tetapi
masih tidak percaya dengan sesuatu yang dibicarakan.
Bukan setakat gerakan anggota badan dan mata sahaja yang
mempunyai makna tersirat, begitu juga dengan gerakan tangan. Gerakan tangan
turut mempunyai maksud sejagat yang boleh difahami oleh kebanyakan orang tanpa
mengira latar belakang kebudayaan sesebuah masyarakat. Isyarat gerakan ini
membawa maksud tersirat yang tersendiri. Lazimnya, isyarat meletakkan tangan di
depan mulut menunjukkan arahan supaya senyap ataupun diam. Tambahan pula,
gerakan tangan yang digunakan bersama-sama bahasa lisan dapat mengukuhkan lagi
tahap keberkesanan sesebuah komunikasi yang sedang berlaku. Hal ini terbukti
apabila seseorang bercakap, secara tidak langsung tangannya juga akan turut
bergerak seiring dengan mesej yang cuba disampaikan. Gerakan tangan boleh
berlaku sama ada di bawah minda sedar ataupun tidak.
Di samping itu, mimik muka yang lebih dikenali sebagai
riak air muka juga mampu menterjemahkan makna yang tersirat dalam komunikasi
bukan lisan. Air muka mampu menunjukkan gambaran emosi, kehendak dan harapan
seseorang selain daripada menambat hati seseorang itu untuk bertindak balas
terhadap reaksi air mukanya. Dalam konteks ini, seseorang dapat mengetahui
sesuatu yang tersirat dan tersurat di hati orang lain dengan mengamati air muka
orang tersebut. Tambahan pula, dia akan dapat merasai perasaan orang tersebut
jika orang tersebut merupakan orang yang rapat dengannya. Oleh itu, mimik muka
memainkan peranan yang penting dalam membentuk jalinan komunikasi yang mesra
dan positif dalam kalangan sekelompok masyarakat. Hubungan yang mesra ini
seterusnya akan membawa ke arah kemakmuran dan kesejahteraan bersama tanpa
wujudnya sebarang perselisihan.
No comments:
Post a Comment