Saturday, 20 September 2014

Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu

PENGENALAN

Kewujudan sesuatu bangsa amat berkait rapat dengan asal usul bahasa. Tanpa bahasa, maka tidak wujudlah sesebuah bangsa. Bahasa dan bangsa merupakan dua komponen yang saling melengkapi. Begitu juga dengan Bahasa Melayu dan Bangsa Melayu. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang berasal daripada rumpun Austronesia. Bahasa Melayu telah pun digunakan di Kepulauan Melayu sejak lebih 1000 tahun yang lalu. Bahasa Melayu dituturkan oleh kebanyakan penduduk di mana-mana negara pada masa kini. Misalnya, Bahasa Melayu di Malaysia dikenali sebagai Bahasa Malaysia manakala Bahasa Melayu di Indonesia dikenali sebagai Bahasa Indonesia.

            Dalam hal ini, Bahasa Melayu turut mengalami proses evolusi. Perubahan yang berlaku adalah seiring dengan peredaran zaman. Proses evolusi tersebut dapat dibahagikan kepada beberapa peringkat, iaitu Zaman Bahasa Melayu Purba, Zaman Bahasa Melayu Kuno, Zaman Bahasa Melayu Klasik dan Zaman Bahasa Melayu Moden. Bahasa Melayu Kuno. Ciri dan sifat bahasa Melayu pada setiap tahap perkembangan adalah berbeza. Sebagai contoh, bahasa Melayu kuno mempunyai banyak perkataan yang berasal daripada Bahasa Sanskrit dan pengaruh Hindu yang kuat. Bahasa Melayu Klasik pula terpengaruh dengan Bahasa Arab dan penyerapan unsur Islam, manakala bahasa Melayu moden banyak dipengaruhi oleh penjajah Barat, terutama Bahasa Inggeris.


1.1  BAHASA MELAYU PURBA

Bahasa Melayu Purba merupakan bahasa Melayu terawal yang digunakan oleh kelompok manusia yang mendiami kawasan Nusantara untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Bahasa ini wujud pada zaman prasejarah. Walau bagaimanapun, tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa bahasa Melayu Purba wujud kerana kelompok-kelompok yang menggunakan bahasa Melayu Purba hanya menggunakannya sebagai Bahasa Komunikasi.

            Menurut Asmah Haji Omar (2000), Bahasa Melayu Purba dipercayai dituturkan oleh kelompok Melayu-Deutro. Mereka menggunakan bahasa ini dalam bentuk lisan. Oleh itu Bahasa Melayu Purba tidak wujud dalam bentuk tulisan.

Penggunaan aksara dalam tulisan merupakan perkembangan  dalam bahasa Melayu Purba tetapi apabila bahasa menggunakan aksara, bahasa Melayu itu sudah tidak dikira bahasa Melayu Purba, sebaliknya dikenali sebagai bahasa Melayu Kuno.


     1.2 BAHASA MELAYU KUNO

Menurut Abdul Rashid dan Amat Juhari Moain, (2006 : 27), bahasa Melayu Kuno bermula pada abad ke-4 Masihi. Bahasa Melayu Kuno dikatakan bermula pada abad ke-4 Masihi kerana terdapat beberapa bukti yang telah ditemui di Dong Yen Chau di Teluk Tourane Vietnam yang diperkirakan bertarikh pada abad ke-4 Masihi. Bahan bukti yang ditemui ialah sebuah prasasti.

Bahasa Melayu Purba dinamakan sebagai bahasa Melayu Kuno selepas kedatangan pedagang India ke alam Melayu yang membawa pengaruh agama Hindu dan Buddha  Bahasa Melayu Kuno dikatakan mencapai kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13, iaitu pada zaman kerajaan Sriwijaya. Bahasa Melayu Kuno menjadi bahasa pentadbiran dan lingua franca, iaitu bahasa yang digunakan sebagai bahasa perantaraan atau bahasa perhubungan antara orag yang berlainan bahasa.  Penutur bahasa Melayu Kuno pada zaman tersebut  meragkumi kawasan Semenanjung Tanah Melayu, Kepulauan Riau dan Sumatera.

Bahasa Melayu Kuno mudah diterima oleh orang ramai pada masa itu kerana bahasa ini bersifat sederhana dan fleksibel, iaitu mudah menerima pengaruh luar. Selain itu, bahasa ini tidak mementingkan perbezaan status dan taraf penggunanya, iaitu tidak terikat pada perbezaan susun lapis masyarakat. Sehubungan itu, sistem dan struktur kata bahasa ini lebih mudah berbanding bahasa seumpamanya seperti bahasa Jawa.

Salah satu bukti kewujudan bahasa Melayu Kuno ialah penemuan batu bersurat. Beberapa Batu bersurat telah ditemui di sekitar Sumatera dan Jawa yang memperlihatkan penggunaan bahasa Melayu Kuno pada abad ke-7. Tulisan yang digunakan adalah aksara Palava, iaitu sejenis tulisan yang berasal dari selatan India. Berikut adalah batu-batu bersurat yang dijumpai oleh para sejarawan:

                      i.        Batu Bersurat Kedukan Bukit di Palembang yang bertarikh 605 tahun saka, bersamaan dengan 683 Masihi
                     ii.        Batu Bersurat Talang Tuwo di Palembang yang bertarikh 606 tahun saka, bersamaan dengan 684 Masihi
                    iii.        Batu Bersurat Kota Kapur di Bangka yang bertarikh 608 tahun saka, bersamaan dengan 686 Masihi
                   iv.        Batu Bersurat Karang Brahi di Jambi yang bertarikh 614 tahun saka, bersamaan 692 Masihi


1.2.1 Ciri-ciri Bahasa Melayu Kuno


·         Banyak terdapat kata pinjaman bahasa Sanskrit
·         Bunyi b ialah v dalam bahasa Melayu Kuno. Contohnya, bulan ialah vulan
·         Tiada bunyi e pepet dalam bahasa Melayu Kuno. Contohnya, dengan menjadi dngan atau dangan
·         Awalan ber- ialah mar- dalam bahasa Melayu Kuno. Contonya, berlepas menjadi marlapas.
·         Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu Kuno. Contohnya, diperbuat menjadi niparvuat
·         Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h. contohnya, sukhashitta
·         Terdapat perkataan dalam perkataan Melayu moden yang tidak menggunakan huruf h tapi dalam bahasa Melayu Kuno huruf ini wujud dalam perkataan tersebut. Contohnya, samuha (semua) dan sahaya (saya)



1.2.2 Pengaruh Bahasa Sanskrit

      Bahasa Melayu Kuno banyak dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit. Hal ini demikian kerana kebanyakan masyarakat Melayu pada masa itu beragama Hindu dan bahasa Sanskrit menjadi bahasa golongan bangsawan dan serta mempunyai hierarki yang tinggi. Sifat bahasa Melayu yang mudah dilenturkan mengikut keadaan juga menjadi penyebab bahasa Sanskrit diterima. Hal ini boleh terbukti daripada pengaruh tulisan atau aksara Pallava dan Devanagari yang berasal dari India, kata-kata dan rangkai kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit serta fenom-fenom Sanskrit yang terdapat dalam Bahasa Melayu Kuno.

     Implikasi daripada kedatangan bahasa Sanskrit ini adalah terdapatnya sistem tulisan yang seragam dan dan penambahan kosa kata dalam bahasa Melayu Kuno seperti syukasyitta, athava, karana, tatkala dan sebagainya. Walau bagaimanapun, bahasa Melayu tidak mempunyai pengaruh Parsi atau Arab.
     


1.3  BAHASA MELAYU KLASIK

Peralihan daripada zaman bahasa Melayu Kuno kepada zaman bahasa Melayu Moden adalah disebabkan oleh kedatangan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad ke-13. Sejak itu, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan bentuk tulisan. Bukti kewujudan bahasa Melayu Klasik dapat dilihat menerusi peninggalan tiga buah batu bersurat, iaitu:    


  i.        Batu Bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau bertarikh 1356 Masihi yang ditulis dalam huruf India dan mengandungi prosa Melayu Kuno serta beberapa baris sajak Sanskrit.   
   ii.        Batu Bersurat di Minye Tujuh, Aceh bertarikh 1380 Masihi yang masih menggunakan abjad India dan buat pertama kalinya terdapat penggunaan kata-kata Arab seperti kalimat Nabi, Allah dan rahmat.     
 iii.        Batu Bersurat di Kuala Berang, Terengganu bertarikh 1303-1387 Masihi yang ditulis dalam tulisan jawi. Hal ini membuktikan bahawa tulisan Arab telah mula digunakan dalam bahasa Melayu pada zaman itu.
     ii

   
Ketiga-tiga batu bersurat ini merupakan catatan terakhir perkembangan bahasa Melayu kerana selepas abad ke-13 muncul kesusasteraan Melayu dalam bentuk tulisan.

Zaman kegemilangan bahasa Melayu Klasik berlaku setelah pemerintah agama Hindu sebelum itu memeluk agama Islam dan mempelajari bahasa Arab daripada para pedagang Arab dan Parsi. Keadaan ini mendorong kepada berlakunya penyerapan unsur dan Parsi dalam bahasa Melayu. Berdasarkan bahan yang di akses, didapati ada tiga zaman kegemilangan bahasa Melayu Klasik. Antaranya ialah zaman kerajaan Melaka, kerajaan Acheh dan kerajaan Johor –Riau. Pada zaman tersebut, lahirlah beberapa orang tokoh penulis yang penting, iaitu Hamzah al-Fansuri, Shamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel. Hasil karya yang terkenal pula termasuklah Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, Hikayat Sulalatus Salatin dan sebagainya.

1.3.1      Ciri-ciri Bahasa Melayu Klasik

Bahasa Melayu Klasik mempunyai ciri-ciri yang khusus dan tersendiri. Antara ciri-ciri Bahasa Melayu Klasik ialah:
      i.        Ayat panjang dan berulang-ulang
     ii.        Bentuk ayat pasif dan songsang lazim digunakan
    iii.        Menggunakan gaya bahasa istana
   iv.        Menggunakan kosa kata klasik seperti ratna mutu manikam dan masyghul (sedih)
    v.        Banyak menggunakan kata pangkal ayat seperti sebermula, alkkisah, hatta
   vi.        Banyak menggunakan partikel pun dan lah
  vii.        Menggunakan aksara Jawi, iaitu aksara yang dipinjam daripada bahasa Arab yang telah ditambah dengan beberapa huruf tambahan.
 viii.        Menerima pelbagai jenis kosa kata Arab dan Parsi dalam pelbagai bidang bahasa seperti bidang ilmu keagamaan, undang-undang, kesusasteraan dan lain-lain.
   ix.        Terdapat struktur ayat yang luar biasa dan ragam yang berbeza dengan bahasa Melayu Moden
    x.        Unsur-unsur falsafah Islam wujud dalam banyak tulisan Melayu seperti dalam bidang ilmu Kalam, Tasawuf dan lain-lain. 

1.3.1      Pengaruh Bahasa Jawa
Bahasa Melayu dan bahasa Jawa merupakan bahasa serumpun. Terdapat dua factor utama penyebaran pengaruh bahasa Jawa ke dalam bahasa Melayu, iaitu tersebarnya cerita-cerita panji di alam Melayu dan keinginan masyarakat untuk  bersosialisasi dengan Negara luar.

            Cerita panji merupakan cerita yang berasal dari Jawa, di mana cerita ini mengisahkan watak wira dan wirawati yang digambarkan mempunyai kuasa yang ajaib atau kuasa sakti yang luar biasa sifatnya. Cerita ini mempunyai versi yang pelbagai dan tersebar di sekitar nusantara hingga ke Kemboja. Migrasi orang-orang Jawa ke Tanah Melayu ketika zaman kesultanan Melayu Melaka turut membawa budaya dan cerita panji mereka. Petempatan orang Jawa yang dikesan pada masa itu terletak di Kampung Jawa dan Parit Jawa.  Walau bagaimanapun, penghijrahan secara besar-besaran telah berlaku sekitar abad ke ke-19. Tumpuan bagi kawasan yang mereka duduki ialah Negeri-negeri 
 Selat, Selangor dan Johor. Pertembungan bahasa yang digunakan oleh penduduk asal dengan orang-orang Jawa ini menyebabkan berlakunya penyerapan unsur-unsur bahasa Jawa ke dalam bahasa Melayu Klasik. Contohnya, perkataan batok dalam bahasa Jawa bermaksu tempurung.

            Suku bangsa Jawa yang menetap di beberpaa bahagian Banten, Jawa Barat, JawaTengah dan Jawa Timur di Indonesia menggunakan bahasa Jawa sebagai bahasa komunikasi. Bahasa Jawa terbahagi kepada dua: iaitu Jawa Ngoko dan Jawa Kromo. Rujuk rajah 1.3.

                                   

                                                  Rajah 1.3 Pembahagian bahasa Jawa

Bahasa Jawa pada ketika itu sudahpun mempunyai sistem tulisannya yangtersendiri. Sistem tulisan ini dikembangkan daripada huruf Pallava dan huruf Pegon yang telah diubahsuai daripada sistem tulisan Arab. Bahasa Jawa mempunyai pelbagai loghat mengikut kelas sosial. Loghat yang digunakan dalam istana sukar difahami oleh orang Jawa kebanyakan seperti loghat Bagongan dan Kedhaton.

Bahasa Jawa juga mempunyai dua sistem tulisan yang berbeza, iaitu aksara Jawa dan huruf pegon. Aksara Jawa yang digunakan termasuklah Hancaraka atau Carakan. Aksara ini menyerap ciri-ciri yang terdapat dalam sistem tulisan Palava. Aksara pegon pula berasal daripada aksara Arab yang telah diubahsuai dan digunakan untuk menulis bahasa Jawa. Pada mulanya, tulisan ini digunakan sepenuhnya untuk menulis ulasan pada al-Quran. Namun begitu, setelah beberapa lama, naskhah dan manuskrip juga ditulis dengan menggunakan tulisan Pegon. Sistem tulisan Pegon agak berbeza dengan sistem tulisan Jawi. Hal ini demikiai kerana tulisan Jawi biasanya ditulis gondol, manakala tulisan Pegon pula kerap ditambah dengan vokal. Bahasa Jawa yang mempunyai vokal yang lebih banyak berbanding dengan bahasa Melayu menyebabkan vokal perlu ditulis bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan ketika membaca sesebuah hasil karya.

1.3.3      Pengaruh Islam dalam bahasa Melayu Klasik

Islam mulai bertapak di alam Melayu sekitar abad ke-11 menerusi Sumatera, iaitu apabila pemerintah Pasai memeluk agama Islam. Penyebaran Islam dilakukan oleh pedagang-pedagang Arab, Cina, India dan Parsi. Selepas itu, proses penyebaran Islam diteruskan menerusi perkahwinan, perdagangan tempatan dan penaklukan. Pada abad ke-14, kesultanan Melayu Melaka berkembang menjadi pusat penyebaran Islam di Nusantara. Namun, setelah kajatuhan Melaka, pusat penyebaran Islam berpindah ke Kesultanan Aceh di Sumatera. Pada akhir abad ke-15 pula, hampir keseluruhan penduduk di alam Melayu memeluk agama Islam kecuali Bali, Filipina dan beberapa buah kawasan di Borneo, Sulawesi dan Jawa Barat.



1.4    BAHASA MELAYU MODEN

Bahasa Melayu Moden dikatakan bermula pada abad ke-19, iaitu setelah kedatangan penjajah Eropah seperti Portugis, Belanda dan Inggeris. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu Moden. Antara karya Abdullah Munsyi termasuklah Kitab Adab Segala Raja-raja Melayu dalam Segala Negeri (1837). Sebelum kedatangan penjajahan Barat, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi sebagai bahasa pengantar, pentadbiran dan kesusasteraan di pusat pendidikan Islam. Selepas perang dunia kedua, British merubah dasar menjadikan Bahasa Inggeris sebagi pengantar dalam pendidikan. Namun, setelah Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 telah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu terbahagi kepada dua iaitu bahasa Melayu moden pramerdeka dan bahasa Melayu moden pascamerdeka.

Pada zaman pramerdeka, perkataan-perkataan daripada bahasa barat seperti Inggeris dan Belanda mula meresap ke dalam bahasa Melayu. Proses ini berlaku secara sedikit demi sedikit. Implikasi penyerapan bahasa ini telah mengakibatkan kegiatan penulisan Melayu mula menggusur dari istana-istana raja seperti dalam zaman bahasa Melayu Klasik ke dalam masyarakat umum. Selain itu, terdapat banyak hasil penulisan seperti buku Sejarah Melayu, Taj al- Salatin, Hikayat Abdullah dan lain-lain. Seterusnya, zaman ini turut mencetak banyak kitab –kitab agama di Asia Tenggara.

Abdul Rashid Melebek (2006 : 33 ) mengatakan bahawa berlakunya peristiwa pertembungan budaya Melayu dengan Barat, perkembangan teknologi cetak ,serta perkembangan perhubungan yang lebih mudah. Keadaan ini menjadikan bahasa Melayu terdedah kepada pengaruh Barat.

Setelah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, bahasa Melayu telah menjadi bahasa kebangsaan dan salah satu bahasa rasmi negara Malaya Merdeka. Manakala pada tahun 1967, bahasa Melayu telah menjadi bahasa rasmi tunggal bagi negara Malaysia. Bagi meningkatkan penggunaan bahasa Melayu banyak akhbar, buku, majalah dan jurnal berbahasa Melayu diterbitkan sama ada di Malaysia, Indonesia dan Singapura terutamanya selepas Perang Dunai Kedua.

Lantaran itu, pelbagai inisiatif juga telah dijalankan bagi memajukan bahasa serta meningkatkan kemampuannya dalam menghadapi zaman moden. Antara langkah yang dilaksanakan untuk memodenkan bahasa Melayu ialah perancangan korpus bahasa Melayu. Perancangan korpus ini telah diterajui oleh Pakatan Belajar –Mengajar Pengetahuan Bahasa. Mereka memulakan perancangan korpus bahasa iaitu dengan menyusun panduan ejaan, kamus, tatabahasa, tanda baca, surat kiriman,dan peristilahan.

Kemudian, muncul pula badan perancangan daripada persatuan dan lembaga yang dikelolakan oleh kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan ini, bahasa Melayu dapat diatur dan dibakukan sistem ejaan, peristilahan, tatabahasa, perkamusan, sebutan, laras bahasa dan lain-lain. Di samping itu, pelbagai kongres dan seminar tentang bahasa dan kesusasteran Melayu juga telah diadakan. Contohnya, Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu diadakan bermula pada tahun 1952 sehinggalah 1984.


1.4.1      Pengaruh Bahasa Arab

Beberapa contoh perkataan bahasa Arabtelah digunakan dalam bahasa Melayu. Contohnya, perkataan abun menjadi abah dan kursiyyun menjadi kerusi.


1.4.2      Pengaruh Bahasa Cina

Dalam kamus Dewan, terdapat entri perkataan yang mempunyai etimologi berlabel C yang menunjukkan perkataan yang dipinjam daripada bahasa Cina.  Antara perkataan Cina yang diterima dalam bahasa Melayu ialah beca, camca, kekwa, nyonya, popia, angpau dan sebagainya.

1.4.3      Pengaruh Bahasa Inggeris

Pengaruh bahasa Inggeris merupakan pengaruh bahasa yang paling ketara dalam bahasa Melayu.  Perkataan Melayu dipinjamkan ke dalam bahasa Melayu  apabila tiada perkataan tempatan yang dapat menggambarkan situasi atau perkara baru yang khusus untuk merujuk kepadanya. Misalnya, perkataan kompromi berasal daripada perkataan compromise. Masalah dan bantahan sering timbul apabila perkataan Inggeris yang diterima masuk ke dalam bahasa Melayu terlalu banyak sehingga ada yang berfungsi sebagai pengganti kepada bahasa Melayu yang sedia ada.

            Namun, setelah termaktubnya Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Melayu sebagai bahasa bahasa kebangsaan, maka bermulalah era baharu bagi bahasa Melay, iaitu satu bahasa yang pernah melalui zaman kegemilangan dan menjadi lingua franca di seluruh Kepulauan Melayu.


1.4.4      Fungsi Bahasa Melayu Moden

Bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa kebangsaan yang berperanan menyatukan rakyat dan sebagai alat komunikasi penduduk pelbagai kaum seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 yang mengatakan bahawa bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa kebangsaan ialah bahasa yang melambangkan identiti dan kedaulatan Negara untuk tujuan perpaduan.

Selain itu, bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa rasmi, iaitu bahasa yang digunakan secara meluas oleh pihak kerajaan sesebuah Negara dari peringkat menteri hingga ke peringkat bawahan.

Seterusnya, bahasa Melayu juga memainkan peranan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan. Laporan Pelajaran Razak (1956) dan Laporan Pelajaran Datuk Abdul Rahman Talib (1960), menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah kebangsaan, bahasa Cina di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina, dan bahasa Tamil di sekolah jenis kebangsaan Tamil.


1.5  PENUTUP


Kesimpulannya, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan daripada zaman purba ke zaman Moden. Perubahan ini menjadikan bahasa Melayu lebih mantap dan dipanjang tinggi oleh seluruh Negara. Hal ini berlaku kesan daripada kedatangan pengaruh yang datang dari luar, terutamanya dari Barat seperti Balanda dan Inggeris yang meresap dalam bahasa Melayu. Pengaruh ini membuahkan hasil yang amat baik dengan adanya perluasan kosa kasa dan istilah-istilah dalam bahasa Melayu. Pertengahan abad ke-19 dan abad ke-20 adalah penting dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu kerana menjadi titik tolak dalam menjadikan bahasa Melayu sebagai lingua franca dan bahasa ilmu pada abad ini.

No comments:

Post a Comment