PENGENALAN
Kewujudan sesuatu
bangsa amat berkait rapat dengan asal usul bahasa. Tanpa bahasa, maka tidak
wujudlah sesebuah bangsa. Bahasa dan bangsa merupakan dua komponen yang saling melengkapi.
Begitu juga dengan Bahasa Melayu dan Bangsa Melayu. Bahasa Melayu merupakan
bahasa yang berasal daripada rumpun Austronesia. Bahasa Melayu telah pun
digunakan di Kepulauan Melayu sejak lebih 1000 tahun yang lalu. Bahasa Melayu
dituturkan oleh kebanyakan penduduk di mana-mana negara pada masa kini.
Misalnya, Bahasa Melayu di Malaysia dikenali sebagai Bahasa Malaysia manakala
Bahasa Melayu di Indonesia dikenali sebagai Bahasa Indonesia.
Dalam hal ini, Bahasa Melayu turut
mengalami proses evolusi. Perubahan yang berlaku adalah seiring dengan
peredaran zaman. Proses evolusi tersebut dapat dibahagikan kepada beberapa
peringkat, iaitu Zaman Bahasa Melayu Purba, Zaman Bahasa Melayu Kuno, Zaman
Bahasa Melayu Klasik dan Zaman Bahasa Melayu Moden. Bahasa Melayu Kuno. Ciri
dan sifat bahasa Melayu pada setiap tahap perkembangan adalah berbeza. Sebagai
contoh, bahasa Melayu kuno mempunyai banyak perkataan yang berasal daripada
Bahasa Sanskrit dan pengaruh Hindu yang kuat. Bahasa Melayu Klasik pula
terpengaruh dengan Bahasa Arab dan penyerapan unsur Islam, manakala bahasa
Melayu moden banyak dipengaruhi oleh penjajah Barat, terutama Bahasa Inggeris.
1.1 BAHASA MELAYU PURBA
Bahasa Melayu Purba
merupakan bahasa Melayu terawal yang digunakan oleh kelompok manusia yang
mendiami kawasan Nusantara untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Bahasa
ini wujud pada zaman prasejarah. Walau bagaimanapun, tiada sebarang bukti yang
menunjukkan bahawa bahasa Melayu Purba wujud kerana kelompok-kelompok yang
menggunakan bahasa Melayu Purba hanya menggunakannya sebagai Bahasa Komunikasi.
Menurut Asmah Haji Omar (2000), Bahasa Melayu Purba dipercayai dituturkan oleh kelompok Melayu-Deutro. Mereka menggunakan
bahasa ini dalam bentuk lisan. Oleh itu Bahasa Melayu Purba tidak wujud dalam
bentuk tulisan.
Penggunaan aksara
dalam tulisan merupakan perkembangan
dalam bahasa Melayu Purba tetapi apabila bahasa menggunakan aksara,
bahasa Melayu itu sudah tidak dikira bahasa Melayu Purba, sebaliknya dikenali
sebagai bahasa Melayu Kuno.
1.2 BAHASA MELAYU KUNO
Menurut Abdul Rashid dan Amat Juhari Moain,
(2006 : 27), bahasa Melayu Kuno bermula pada abad ke-4 Masihi. Bahasa Melayu
Kuno dikatakan bermula pada abad ke-4 Masihi kerana terdapat beberapa bukti
yang telah ditemui di Dong Yen Chau di Teluk Tourane Vietnam yang diperkirakan
bertarikh pada abad ke-4 Masihi. Bahan bukti yang ditemui ialah sebuah prasasti.
Bahasa Melayu Purba
dinamakan sebagai bahasa Melayu Kuno selepas kedatangan pedagang India ke alam
Melayu yang membawa pengaruh agama Hindu dan Buddha Bahasa Melayu Kuno dikatakan mencapai
kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13, iaitu pada zaman kerajaan
Sriwijaya. Bahasa Melayu Kuno menjadi bahasa pentadbiran dan lingua franca,
iaitu bahasa yang digunakan sebagai bahasa perantaraan atau bahasa perhubungan
antara orag yang berlainan bahasa.
Penutur bahasa Melayu Kuno pada zaman tersebut meragkumi kawasan Semenanjung Tanah Melayu,
Kepulauan Riau dan Sumatera.
Bahasa Melayu Kuno
mudah diterima oleh orang ramai pada masa itu kerana bahasa ini bersifat
sederhana dan fleksibel, iaitu mudah menerima pengaruh luar. Selain itu, bahasa
ini tidak mementingkan perbezaan status dan taraf penggunanya, iaitu tidak
terikat pada perbezaan susun lapis masyarakat. Sehubungan itu, sistem dan
struktur kata bahasa ini lebih mudah berbanding bahasa seumpamanya seperti
bahasa Jawa.
Salah satu bukti
kewujudan bahasa Melayu Kuno ialah penemuan batu bersurat. Beberapa Batu bersurat
telah ditemui di sekitar Sumatera dan Jawa yang memperlihatkan penggunaan
bahasa Melayu Kuno pada abad ke-7. Tulisan yang digunakan adalah aksara Palava,
iaitu sejenis tulisan yang berasal dari selatan India. Berikut adalah batu-batu
bersurat yang dijumpai oleh para sejarawan:
i.
Batu Bersurat Kedukan Bukit di Palembang yang
bertarikh 605 tahun saka, bersamaan dengan 683 Masihi
ii.
Batu Bersurat Talang Tuwo di Palembang yang
bertarikh 606 tahun saka, bersamaan dengan 684 Masihi
iii.
Batu Bersurat Kota Kapur di Bangka yang
bertarikh 608 tahun saka, bersamaan dengan 686 Masihi
iv.
Batu Bersurat Karang Brahi di Jambi yang
bertarikh 614 tahun saka, bersamaan 692 Masihi
1.2.1 Ciri-ciri Bahasa Melayu Kuno
·
Banyak terdapat kata pinjaman bahasa
Sanskrit
·
Bunyi b ialah v dalam bahasa Melayu Kuno.
Contohnya, bulan ialah vulan
·
Tiada bunyi e pepet dalam bahasa Melayu
Kuno. Contohnya, dengan menjadi dngan atau dangan
·
Awalan ber- ialah mar- dalam bahasa Melayu
Kuno. Contonya, berlepas menjadi marlapas.
·
Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu
Kuno. Contohnya, diperbuat menjadi niparvuat
·
Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan
seperti bh, th, ph, dh, kh, h. contohnya, sukhashitta
·
Terdapat perkataan dalam perkataan Melayu
moden yang tidak menggunakan huruf h tapi dalam bahasa Melayu Kuno huruf
ini wujud dalam perkataan tersebut. Contohnya, samuha (semua) dan sahaya
(saya)
|
1.2.2 Pengaruh Bahasa Sanskrit
Bahasa Melayu
Kuno banyak dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit. Hal ini demikian kerana
kebanyakan masyarakat Melayu pada masa itu beragama Hindu dan bahasa Sanskrit
menjadi bahasa golongan bangsawan dan serta mempunyai hierarki yang tinggi.
Sifat bahasa Melayu yang mudah dilenturkan mengikut keadaan juga menjadi
penyebab bahasa Sanskrit diterima. Hal ini boleh terbukti daripada pengaruh
tulisan atau aksara Pallava dan Devanagari yang berasal dari India, kata-kata
dan rangkai kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit serta fenom-fenom Sanskrit
yang terdapat dalam Bahasa Melayu Kuno.
Implikasi daripada kedatangan bahasa
Sanskrit ini adalah terdapatnya sistem tulisan yang seragam dan dan penambahan
kosa kata dalam bahasa Melayu Kuno seperti syukasyitta, athava, karana, tatkala
dan sebagainya. Walau bagaimanapun, bahasa Melayu tidak mempunyai pengaruh
Parsi atau Arab.
1.3 BAHASA MELAYU KLASIK
Peralihan daripada
zaman bahasa Melayu Kuno kepada zaman bahasa Melayu Moden adalah disebabkan
oleh kedatangan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada
abad ke-13. Sejak itu, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari segi kosa
kata, struktur ayat dan bentuk tulisan. Bukti kewujudan bahasa Melayu Klasik
dapat dilihat menerusi peninggalan tiga buah batu bersurat, iaitu:
i.
Batu Bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau
bertarikh 1356 Masihi yang ditulis dalam huruf India dan mengandungi prosa
Melayu Kuno serta beberapa baris sajak Sanskrit.
ii.
Batu Bersurat di Minye Tujuh, Aceh bertarikh
1380 Masihi yang masih menggunakan abjad India dan buat pertama kalinya
terdapat penggunaan kata-kata Arab seperti kalimat Nabi, Allah dan rahmat.
iii.
Batu Bersurat di Kuala Berang, Terengganu
bertarikh 1303-1387 Masihi yang ditulis dalam tulisan jawi. Hal ini membuktikan
bahawa tulisan Arab telah mula digunakan dalam bahasa Melayu pada zaman itu.
ii
Ketiga-tiga batu
bersurat ini merupakan catatan terakhir perkembangan bahasa Melayu kerana
selepas abad ke-13 muncul kesusasteraan Melayu dalam bentuk tulisan.
Zaman kegemilangan
bahasa Melayu Klasik berlaku setelah pemerintah agama Hindu sebelum itu memeluk
agama Islam dan mempelajari bahasa Arab daripada para pedagang Arab dan Parsi.
Keadaan ini mendorong kepada berlakunya penyerapan unsur dan Parsi dalam bahasa
Melayu. Berdasarkan bahan yang di
akses, didapati ada tiga zaman kegemilangan bahasa Melayu Klasik. Antaranya
ialah zaman kerajaan Melaka, kerajaan Acheh dan kerajaan Johor –Riau. Pada
zaman tersebut, lahirlah beberapa orang tokoh penulis yang penting, iaitu Hamzah
al-Fansuri, Shamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf
al-Singkel. Hasil karya yang terkenal pula termasuklah Hikayat Raja-raja Pasai,
Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, Hikayat Sulalatus Salatin dan sebagainya.
1.3.1
Ciri-ciri Bahasa Melayu Klasik
Bahasa Melayu Klasik
mempunyai ciri-ciri yang khusus dan tersendiri. Antara ciri-ciri Bahasa Melayu
Klasik ialah:
i.
Ayat panjang dan berulang-ulang
ii.
Bentuk ayat pasif dan songsang lazim digunakan
iii.
Menggunakan gaya bahasa istana
iv.
Menggunakan kosa kata klasik seperti ratna mutu
manikam dan masyghul (sedih)
v.
Banyak menggunakan kata pangkal ayat seperti
sebermula, alkkisah, hatta
vi.
Banyak menggunakan partikel pun dan lah
vii.
Menggunakan aksara Jawi, iaitu aksara yang
dipinjam daripada bahasa Arab yang telah ditambah dengan beberapa huruf
tambahan.
viii.
Menerima pelbagai jenis kosa kata Arab dan Parsi
dalam pelbagai bidang bahasa seperti bidang ilmu keagamaan, undang-undang,
kesusasteraan dan lain-lain.
ix.
Terdapat struktur ayat yang luar biasa dan ragam
yang berbeza dengan bahasa Melayu Moden
x.
Unsur-unsur falsafah Islam wujud dalam banyak
tulisan Melayu seperti dalam bidang ilmu Kalam, Tasawuf dan lain-lain.
1.3.1
Pengaruh Bahasa Jawa
Bahasa Melayu dan
bahasa Jawa merupakan bahasa serumpun. Terdapat dua factor utama penyebaran
pengaruh bahasa Jawa ke dalam bahasa Melayu, iaitu tersebarnya cerita-cerita
panji di alam Melayu dan keinginan masyarakat untuk bersosialisasi dengan Negara luar.
Cerita panji merupakan cerita yang
berasal dari Jawa, di mana cerita ini mengisahkan watak wira dan wirawati yang
digambarkan mempunyai kuasa yang ajaib atau kuasa sakti yang luar biasa
sifatnya. Cerita ini mempunyai versi yang pelbagai dan tersebar di sekitar
nusantara hingga ke Kemboja. Migrasi orang-orang Jawa ke Tanah Melayu ketika
zaman kesultanan Melayu Melaka turut membawa budaya dan cerita panji mereka.
Petempatan orang Jawa yang dikesan pada masa itu terletak di Kampung Jawa dan
Parit Jawa. Walau bagaimanapun,
penghijrahan secara besar-besaran telah berlaku sekitar abad ke ke-19. Tumpuan bagi kawasan yang mereka duduki ialah Negeri-negeri
Selat, Selangor dan Johor. Pertembungan bahasa yang digunakan
oleh penduduk asal dengan orang-orang Jawa ini menyebabkan berlakunya
penyerapan unsur-unsur bahasa Jawa ke dalam bahasa Melayu Klasik. Contohnya,
perkataan batok dalam bahasa Jawa bermaksu tempurung.
Suku bangsa Jawa yang menetap di
beberpaa bahagian Banten, Jawa Barat, JawaTengah dan Jawa Timur di Indonesia
menggunakan bahasa Jawa sebagai bahasa komunikasi. Bahasa Jawa terbahagi kepada
dua: iaitu Jawa Ngoko dan Jawa Kromo. Rujuk rajah 1.3.
Rajah 1.3 Pembahagian
bahasa Jawa
Bahasa Jawa
pada ketika itu sudahpun mempunyai sistem tulisannya yangtersendiri. Sistem
tulisan ini dikembangkan daripada huruf Pallava dan huruf Pegon yang telah
diubahsuai daripada sistem tulisan Arab. Bahasa Jawa mempunyai pelbagai loghat
mengikut kelas sosial. Loghat yang digunakan dalam istana sukar difahami oleh
orang Jawa kebanyakan seperti loghat Bagongan dan Kedhaton.
Bahasa Jawa
juga mempunyai dua sistem tulisan yang berbeza, iaitu aksara Jawa dan huruf
pegon. Aksara Jawa yang digunakan termasuklah Hancaraka atau Carakan. Aksara
ini menyerap ciri-ciri yang terdapat dalam sistem tulisan Palava. Aksara pegon
pula berasal daripada aksara Arab yang telah diubahsuai dan digunakan untuk
menulis bahasa Jawa. Pada mulanya, tulisan ini digunakan sepenuhnya untuk menulis ulasan
pada al-Quran. Namun begitu, setelah beberapa lama, naskhah dan manuskrip juga ditulis
dengan menggunakan tulisan Pegon. Sistem tulisan Pegon agak berbeza dengan
sistem tulisan Jawi. Hal ini demikiai kerana tulisan Jawi biasanya ditulis
gondol, manakala tulisan Pegon pula kerap ditambah dengan vokal. Bahasa Jawa
yang mempunyai vokal yang lebih banyak berbanding dengan bahasa Melayu
menyebabkan vokal perlu ditulis bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan ketika
membaca sesebuah hasil karya.
1.3.3
Pengaruh Islam dalam bahasa Melayu Klasik
Islam mulai
bertapak di alam Melayu sekitar abad ke-11 menerusi Sumatera, iaitu apabila
pemerintah Pasai memeluk agama Islam. Penyebaran Islam dilakukan oleh pedagang-pedagang
Arab, Cina, India dan Parsi. Selepas itu, proses penyebaran Islam diteruskan
menerusi perkahwinan, perdagangan tempatan dan penaklukan. Pada abad ke-14,
kesultanan Melayu Melaka berkembang menjadi pusat penyebaran Islam di
Nusantara. Namun, setelah kajatuhan Melaka, pusat penyebaran Islam berpindah ke
Kesultanan Aceh di Sumatera. Pada akhir abad ke-15 pula, hampir keseluruhan
penduduk di alam Melayu memeluk agama Islam kecuali Bali, Filipina dan beberapa
buah kawasan di Borneo, Sulawesi dan Jawa Barat.
1.4 BAHASA MELAYU MODEN
Bahasa Melayu
Moden dikatakan bermula pada abad ke-19, iaitu setelah kedatangan penjajah
Eropah seperti Portugis, Belanda dan Inggeris. Hasil karangan Munsyi Abdullah
dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu Moden. Antara karya Abdullah
Munsyi termasuklah Kitab Adab Segala Raja-raja Melayu dalam Segala Negeri
(1837). Sebelum kedatangan penjajahan Barat, bahasa Melayu mencapai kedudukan
yang tinggi sebagai bahasa pengantar, pentadbiran dan kesusasteraan di pusat
pendidikan Islam. Selepas perang dunia kedua, British merubah dasar menjadikan
Bahasa Inggeris sebagi pengantar dalam pendidikan. Namun, setelah Malaysia
mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 telah menetapkan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu terbahagi kepada dua
iaitu bahasa Melayu moden pramerdeka dan bahasa Melayu moden pascamerdeka.
Pada zaman
pramerdeka, perkataan-perkataan daripada bahasa barat seperti
Inggeris dan Belanda mula meresap ke dalam bahasa Melayu. Proses ini berlaku secara
sedikit demi sedikit. Implikasi penyerapan bahasa ini telah mengakibatkan
kegiatan penulisan Melayu mula menggusur dari istana-istana raja seperti dalam
zaman bahasa Melayu Klasik ke dalam masyarakat umum. Selain itu, terdapat
banyak hasil penulisan seperti buku Sejarah Melayu, Taj al- Salatin,
Hikayat Abdullah dan lain-lain. Seterusnya, zaman ini turut mencetak banyak
kitab –kitab agama di Asia Tenggara.
Abdul
Rashid Melebek (2006 : 33 ) mengatakan bahawa berlakunya peristiwa pertembungan
budaya Melayu dengan Barat, perkembangan teknologi cetak ,serta perkembangan perhubungan
yang lebih mudah. Keadaan ini menjadikan bahasa Melayu terdedah kepada pengaruh
Barat.
Setelah
mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, bahasa Melayu telah menjadi bahasa
kebangsaan dan salah satu bahasa rasmi negara Malaya Merdeka. Manakala pada
tahun 1967, bahasa Melayu telah menjadi bahasa rasmi tunggal bagi negara
Malaysia. Bagi meningkatkan penggunaan bahasa Melayu banyak akhbar, buku,
majalah dan jurnal berbahasa Melayu diterbitkan sama ada di Malaysia, Indonesia
dan Singapura terutamanya selepas Perang Dunai Kedua.
Lantaran
itu, pelbagai inisiatif juga telah dijalankan bagi memajukan bahasa serta meningkatkan
kemampuannya dalam menghadapi zaman moden. Antara langkah yang dilaksanakan
untuk memodenkan bahasa Melayu ialah perancangan korpus bahasa Melayu. Perancangan
korpus ini telah diterajui oleh Pakatan Belajar –Mengajar Pengetahuan Bahasa.
Mereka memulakan perancangan korpus bahasa iaitu dengan menyusun panduan ejaan,
kamus, tatabahasa, tanda baca, surat kiriman,dan peristilahan.
Kemudian,
muncul pula badan perancangan daripada persatuan dan lembaga yang dikelolakan
oleh kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan ini, bahasa Melayu dapat
diatur dan dibakukan sistem ejaan, peristilahan, tatabahasa, perkamusan,
sebutan, laras bahasa dan lain-lain. Di samping itu, pelbagai kongres dan
seminar tentang bahasa dan kesusasteran Melayu juga telah diadakan. Contohnya, Kongres
Bahasa dan Persuratan Melayu diadakan
bermula pada tahun 1952 sehinggalah 1984.
1.4.1
Pengaruh Bahasa Arab
Beberapa
contoh perkataan bahasa Arabtelah digunakan dalam bahasa Melayu. Contohnya,
perkataan abun menjadi abah dan kursiyyun menjadi kerusi.
1.4.2
Pengaruh Bahasa Cina
Dalam kamus
Dewan, terdapat entri perkataan yang mempunyai etimologi berlabel C yang
menunjukkan perkataan yang dipinjam daripada bahasa Cina. Antara perkataan Cina yang diterima dalam
bahasa Melayu ialah beca, camca, kekwa, nyonya, popia, angpau dan sebagainya.
1.4.3
Pengaruh Bahasa Inggeris
Pengaruh
bahasa Inggeris merupakan pengaruh bahasa yang paling ketara dalam bahasa
Melayu. Perkataan Melayu dipinjamkan ke
dalam bahasa Melayu apabila tiada
perkataan tempatan yang dapat menggambarkan situasi atau perkara baru yang
khusus untuk merujuk kepadanya. Misalnya, perkataan kompromi berasal daripada
perkataan compromise. Masalah dan bantahan sering timbul apabila perkataan
Inggeris yang diterima masuk ke dalam bahasa Melayu terlalu banyak sehingga ada
yang berfungsi sebagai pengganti kepada bahasa Melayu yang sedia ada.
Namun, setelah termaktubnya Perkara
152 dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Melayu sebagai bahasa
bahasa kebangsaan, maka bermulalah era baharu bagi bahasa Melay, iaitu satu
bahasa yang pernah melalui zaman kegemilangan dan menjadi lingua franca di
seluruh Kepulauan Melayu.
1.4.4
Fungsi Bahasa Melayu Moden
Bahasa Melayu
berfungsi sebagai bahasa kebangsaan yang berperanan menyatukan rakyat dan
sebagai alat komunikasi penduduk pelbagai kaum seperti yang terkandung dalam
Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 yang mengatakan bahawa bahasa Melayu
dijadikan sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa kebangsaan ialah bahasa yang
melambangkan identiti dan kedaulatan Negara untuk tujuan perpaduan.
Selain itu, bahasa
Melayu juga berfungsi sebagai bahasa rasmi, iaitu bahasa yang digunakan secara
meluas oleh pihak kerajaan sesebuah Negara dari peringkat menteri hingga ke
peringkat bawahan.
Seterusnya, bahasa
Melayu juga memainkan peranan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan.
Laporan Pelajaran Razak (1956) dan Laporan Pelajaran Datuk Abdul Rahman
Talib (1960), menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di
sekolah-sekolah kebangsaan, bahasa Cina di sekolah rendah jenis kebangsaan
Cina, dan bahasa Tamil di sekolah jenis kebangsaan Tamil.
1.5 PENUTUP
Kesimpulannya, bahasa Melayu mengalami
banyak perubahan daripada zaman purba ke zaman Moden. Perubahan ini menjadikan
bahasa Melayu lebih mantap dan dipanjang tinggi oleh seluruh Negara. Hal ini
berlaku kesan daripada kedatangan pengaruh yang datang dari luar, terutamanya
dari Barat seperti Balanda dan Inggeris yang meresap dalam bahasa Melayu.
Pengaruh ini membuahkan hasil yang amat baik dengan adanya perluasan kosa kasa
dan istilah-istilah dalam bahasa Melayu. Pertengahan abad ke-19 dan abad ke-20
adalah penting dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu kerana menjadi titik
tolak dalam menjadikan bahasa Melayu sebagai lingua franca dan bahasa ilmu pada
abad ini.